Friday, October 16, 2009

SKSR - Chapter 19


“Kau dah melampau Anna!”

Anna terpinga-pinga apabila mendengar jerkahan Syed Izham yang tiba-tiba menerjah masuk ke kamarnya. Kepalanya kembali berdenyut-denyut.

“Kenapa dengan kau ni? Tiba-tiba aje nak mengamuk,” jerkah Anna semula.

“Mana Sindora?”

“Sindora? Kenapa kau tanya aku?” soal Anna dengan wajah bingung.

“Kau jangan buat-buat tanya pulak! Apa yang kau dah lakukan terhadap Sindora?” soal Syed Izham dengan keras.

“Lakukan apa? Aku tak buat apa-apalah,” jawab Anna cuba berdalih.

“Apa niat kau sebenar beritahu auntie Azie semua tu?”

Anna hanya menikus. Ini semua mesti kerja si Nora, hati kecil Anna berkata. Melihat Anna yang membisu, Syed Izham menjadi semakin berang.

“Baik kau mengaku. Aku dah hilang sabar dengan kelakuan kau. Semakin aku diam semakin menjadi-jadi. Kau jangan nak naikkan darah aku lagi. Aku tanya ni, mana Sindora!” suara Syed Izham melengking kuat. Bahu Anna terangkat kerana kaget.

“Aku tak tahulah!” sahut Anna dengan suara yang lantang.

“Ya Allah! Apa nak jadi dengan kamu berdua ni. Terjerit-jerit macam orang hilang akal.”

Masing-masing terdiam kerana disergah oleh Puan Emma yang tiba-tiba sahaja muncul.

“Kenapa dengan kamu berdua ni? Dari bawah mama dengar suara kamu terjerit-jerit.” Puan Emma memandang silih berganti kedua-dua anaknya itu. Dia hairan melihat wajah Syed Izham yang merah padam.

“Entahlah mama. Angin apa yang dah masuk kat badan dia, tiba-tiba nak mengamuk.”

Syed Izham mendengus. Cuak dengan sikap Anna yang cuba mengadu kepada ibunya.

“Kau dari mana tadi? Kenapa aku call kau tak angkat?” soal Syed Izham sambil merenung wajah Anna dengan tajam.

“Aku tidur. Kepala aku sakit. Dari pagi tadi aku tak keluar mana-mana,” jawab Anna sambil memicit-micit kepalanya.

“Boleh percaya ke? Atau kau sengaja berpura-pura untuk menutup perbuatan jahat kau tu,” tuduh Syed Izham penuh sinis.

Anna membulatkan mata. Dia marah kerana Syed Izham tidak mempercayai kata-katanya.

“Kalau kau tak percaya sudahlah! Tapi jangan tuduh aku yang bukan-bukan. Kau ingat aku ada masa nak fikirkan perempuan tu.”

“Apa semua ni? Mama tak fahamlah,” ujar Puan Emma yang bingung apa sebenarnya punca pertelingkahan dua beradik itu.

“Iz, kalau ya pun tak boleh ke kamu cakap-cakap elok terhadap kakak kamu?” Puan Emma cuba memberi nasihat.

“She’s too much, mama.”

Syed Izham merengus kuat. Kalau tidak difikirkan kehadiran ibunya, mahu sahaja dia memaksa Anna untuk mengaku.

“Ingat Anna. Kalau betul kau yang buat, I will never forgive you!” ucap Syed Izham lantas berlalu dari situ.

Puan Emma terpinga-pinga mendengar kata-kata berbaur amaran dari Syed Izham. Dia memandang Anna dengan seribu tanda tanya. Satu keluhan tercetus dari bibir Anna.

I’m very upset with you, Anna.”

“Mama…”

“Mama tak tahu apa sebenarnya yang berlaku antara kamu dengan Izham. Mama tak pernah lihat Izham begitu marah seperti tadi. Dia seorang yang sentiasa tenang dan bersikap penyabar, kalau dia marah pun cepat-cepat dia akan mengalah tapi nampaknya hati dia menjadi keras. Apa yang telah kamu buat Anna?”

“Mama pun nak marahkan Anna? I’m a victim here,” ujar Anna dengan riak wajah kecewa.

“Anna buat semua ni untuk dia. Anna tak mahu dia dipermain-mainkan oleh perempuan tu.”

“Apa yang kamu cakap ni?” soal Puan Emma dengan rasa hairan.

“Mama nak kamu cerita apa sebenarnya yang terjadi antara kamu berdua. Jangan sembunyi apa-apa dari mama,” pinta Puan Emma sambil menatap tajam ke arah Anna.

Anna mengeluh perlahan. Dia menceritakan semuanya kepada Puan Emma dari mula sampai akhir.

Puan Emma tercengang. Dia seakan tidak percaya dengan apa yang diceritakan oleh Anna. Tetapi apabila melihat riak wajah Anna yang penuh dengan rasa benci, dia mula percaya bahawa anak perempuannya itu berkata benar.

“I want to get rid that woman. She can’t be a part of our family,” ujar Anna dengan tegas.

“Kamu tak rasa yang kamu terlalu mementingkan diri sendiri?” spontan Puan Emma bertanya.

“Apa yang mama cakap ni?”

Puan Emma menghela nafas kemudian menggeleng kepala perlahan.

“Whatever plan that you want to do, please stop it.”

“Tapi mama…”

“Sudah! Mama tak mahu dengar apa-apa alasan dari kamu. Dan mama tak mahu kamu buat apa-apa terhadap Sindora. Pasal Izham, biar mama yang cakap dengan dia. Serahkan semua pada mama”.

Anna bungkam. Lidahnya kelu untuk berkata-kata walaupun dia tidak berpuas hati dengan keputusan ibunya.

“Ingat Anna. Don’t do anything stupid!” Puan Emma sempat lagi memberi amaran kepada Anna sebelum berlalu pergi.

Anna merengus tanda geram. Hanya itu sahaja yang dia mampu lakukan.

**************************************

Sejak Sindora pergi, Andy jadi tidak tentu arah. Dia sering termenung dan memencilkan diri. Untuk menghilangkan fikiran yang kusut dia cuba menumpukan segala perhatian terhadap kerja tetapi kadang kala mindanya tidak henti-henti mengenangkan Sindora.

Sesungguhnya tanpa Sindora, hidupnya terasa kosong. Gelak tawa dan wajah Sindora sering terbayang-bayang di ruang mata. Rasa rindu membuak-buak. Air matanya bergenang tanpa disedari. Dia berasa menyesal kerana tidak mengatakan kepada Sindora bahawa dia teramat sayang dan cinta terhadap isterinya. Mungkin kalau dia melafazkan kata-kata keramat itu tentu Sindora akan berfikir dua kali untuk meninggalkannya. Dia dapat merasa bahawa Sindora juga ada perasaan terhadap dirinya walaupun wanita itu cuba menafikan.

Memang dia ada rasa bersalah terhadap Izham dan cuba menghalau ingatannya terhadap Sindora tetapi dia tidak mampu. Dia juga tidak sanggup melihat Sindora jatuh ke tangan orang lain walau kepada sahabat baiknya sendiri!

Telefonnya tiba-tiba berdering. Dia melihat di skrin. Tertera nama seseorang yang membuatkan darahnya berderau.

Langkah Andy terhuyung-hayang. Terasa berat kakinya untuk melangkah walau jarak antara ofis dan tempat parkir kereta tidak begitu jauh.

Dengan tangan yang terketar-ketar dia menghidupkan enjin kereta. Radio dipasang dengan kuat untuk meredakan hatinya yang sememangnya tidak berasa tenang akhir-akhir ini.

Sambil memandu, dia berkali-kali menggosok-gosok dahi. Kepalanya tiba-tiba rasa berdenyut. Terngiang-ngiang suara itu yang sebentar tadi berkata-kata padanya.

“Ini semua salah abang. Kalau tidak kerana abang, kamu dan Sindora tidak jadi begini.”

“Kenapa ni abang? Saya tak faham…”

“Andy, abang tahu kenapa kamu kahwin dengan Sindora.”

Andy terpempan. Dia tidak faham apa yang cuba diberitahu oleh Saiful.

“Duit yang Sindora pinjam dari kamu adalah untuk abang. Abang yang minta tolong dari dia untuk selamatkan bisnes abang yang hampir bankrap. Dia buat semua ini dan korbankan hidupnya kerana abang. Dan sekarang abang nak kembalikan kehidupannya kepada yang asal.”

“Apa maksud abang?” tanya Andy dengan perasaan berdebar-debar.

“Abang akan pulangkan duit yang Sindora pinjam dari kamu. Tetapi kamu kena lepaskan Sindora.”

“Mana Sindora? Abang…mana Sindora? Saya nak cakap dengan dia,” soal Andy bertalu-talu. Kata-kata dari Saiful langsung tidak dipedulikan.

“Andy tak perlu bimbang. Sindora ada di rumah abang.”

“Tolonglah abang. Saya perlu bercakap dengan dia,” rayu Andy kepada Saiful. Dia berasa sedikit lega setelah mengetahui bahawa Sindora selamat.

“Abang yang sebenarnya nak minta pertolongan dari kamu. Lupakan Sindora. Anggaplah kamu dan Sindora tiada jodoh…”

“Tidak abang. Saya takkan lepaskan Sindora,” Andy bersuara tegas.

“Abang akan pulangkan duit Andy tu dengan secepat yang mungkin.”

“Saya tak mahu, saya hanya mahukan Sindora!”

Saiful mengeluh perlahan. Dia menjadi serba salah.

“Ini adalah permintaan Sindora sendiri. Dia tidak mahu bercakap atau bertemu dengan kamu lagi.”

“Saya sayangkan dia abang. Lebih dari duit itu dan lebih dari segala-galanya,” ucap Andy dengan nada bergetar.

“Tapi Sindora takde perasaan apa-apa terhadap kamu. Cubalah kamu faham keadaan sebenar.”

“Tidak. Saya percaya Sindora juga sayangkan saya.”

“Kamu dan Sindora berbeza. Kamu orang berada sedangkan kami orang susah. Tidak mungkin kamu akan bahagia hidup dengan dia.”

“Saya tak pandang itu semua. Yang penting perasaan kami sama.”

“Maaf Andy. Abang tak boleh buat apa-apa. Semua keputusan di tangan Sindora. Dia mahu kamu ceraikan dia.”

“Cerai??”

Bunyi hon kereta di belakang mengejutkan Andy. Kepalanya seperti di hempap batu, menjadi begitu berat. Matanya pula berpinar-pinar. Tiba-tiba muncul sebuah kereta di depannya. Andy menjadi panik, dia cuba mengelak akhirnya terbabas lalu melanggar pokok. Dalam keadaan separa sedar, sayup-sayup dia mendengar suara seseorang menyebut perkataan ambulans. Tetapi selepas itu matanya tertutup rapat dan tidak mendengar apa-apa lagi.

1 comment: