Monday, June 15, 2009

SKSR - Chapter 17



“Siapa pulak yang datang malam-malam ni,” rungut Watie apabila mendengar loceng di luar rumah berbunyi berkali-kali. Dia yang berada di dapur segera berlari ke ruang tamu.

Sebaik sahaja pintu terbuka, Watie terpaku memandang sekujur tubuh lelaki yang berdiri di hadapan dan sedang memandangnya.

Manusia ke patung ni? Watie berkata dalam hati. Matanya terus melekap kepada seraut wajah lelaki itu.

“Assalamualaikum.”

Salam lelaki itu tidak dijawab. Watie seolah-olah terpukau.

“Hellooo….” Lelaki itu mengawang-awangkan tangan ke wajah Watie. Kenapa dengan perempuan ni?

“Huh! Waalaikummusalam,” Watie tersedar. Dia tersipu-sipu malu apabila lelaki itu memandangnya penuh hairan.

“Encik cari siapa?” tanya Watie dengan gugup.

“Sindora ada?” tanya lelaki itu sambil tersenyum.

Sekali lagi Watie terpana. Mak ooi, handsomenya mamat nih!

“Sindora ada kat bilik. Encik ni…”

“Suami dia.”

Suami? Memang Watie tahu suami Sindora yang berdarah kacukan. Tetapi dia tidak menyangka wajahnya sekacak ini, seperti model! Apa ilmu yang Sindora guna? Ada sedikit riak cemburu dalam hati Watie.

“Boleh panggil dia sekejap?” pinta Andy kepada Watie yang sedang termangu-mangu. Apa kenalah dengan perempuan ni? Hati kecil Andy tidak henti-henti bertanya.

“Oh..sorry. Jemputlah masuk,” pelawa Watie sambil mempersilakan Andy duduk di sofa.

“Andy!”

Andy lantas menoleh tatkala namanya dipanggil.

“Sindora…”

Ingin rasanya Andy memeluk isterinya itu. Sudah tidak tertahan dia menanggung rindu semenjak Sindora meninggalkan rumah. Tetapi demi ego seorang lelaki, dia hanya terpaku memandang Sindora yang tergamam memandangnya.

“Macam mana… macam mana awak tahu saya ada di sini?” soal Sindora dengan gugup.

“Boleh kita keluar sekejap. Berbual-bual dekat luar,” pinta Andy tanpa menjawab soalan dari Sindora.

Sindora mengangguk. Mungkin Andy tidak selesa dengan kehadiran Watie di situ.

“Tunggu sekejap, saya pakai tudung.”

“Tak payahlah. Kita gi dekat-dekat sini aje,” ujar Andy sambil menuding jari telunjuknya ke hadapan.

“Awak sihat?” tanya Sindora sebaik sahaja melabuhkan punggung di atas bangku di taman permainan berdekatan dengan rumah.

“Saya baru sahaja sembuh dari sakit.”

“Sakit? Awak demam ke?” soal Sindora dengan nada risau. Tangannya secara automatik menyentuh dahi Andy.

“Hmm…sakit rindu,” usik Andy dengan suara yang romantis. Tangan Sindora yang berada di dahinya segera dicapai lalu dibawa ke bibir.

Jemarinya dikucup oleh Andy dengan lama. Sindora yang terpana seketika cepat-cepat menarik tangan. Wajahnya memerah. Cuba ditahan perasaan hatinya supaya tidak ketara.

Andy mengeluh hampa. Sindora sengaja tidak mahu mengerti perasaannya.

“Saya dah lama tahu tentang awak dan Izham,” ujar Andy dengan tiba-tiba.

Sindora terkedu. Dia menelan air liur. Terasa pahit. Dia memandang wajah Andy yang tenang. Rasa bersalah mula menyelubunginya kerana dari awal tidak berterus-terang sehingga Andy boleh tahu sendiri.

“Maafkan saya kerana merahsiakan perkara ini. Sebenarnya saya nak beritahu awak pada malam yang sepatutnya kita dinner bersama. Tapi pada malam tu…”

“Ya. Pada hari tu jugak saya tahu pasal awak dan Izham. Saya terperanjat, sekaligus saya jadi marah. Saya rasa seperti ditipu dan dikhianati…”

“Tapi saya tak boleh bohong diri saya sendiri…”

Andy memusingkan tubuh Sindora supaya menghadapnya. Rambut Sindora yang terdedah dan hanya separas bahu dielus lembut oleh jemari Andy. Ada getaran hebat yang terbit dalam dadanya ketika itu.

“Saya tidak pernah alami perasaan sebegini sebelum ini. Hanya awak sahaja yang mampu buat saya jadi macam ni.”

“Buat awak macam apa, Andy?” Dengan berani Sindora bertanya. Dengan berani juga dia menatap wajah Andy yang begitu hampir dengan wajahnya.

Andy mencapai tangan kanan Sindora lalu dibawa ke dadanya. Sindora dapat merasakan jantung Andy berdegup dengan kencang. Debaran dadanya juga terasa begitu laju.

“Awak rasa apa yang saya rasa, Sindora?” bisik Andy dengan perlahan tetapi mampu membuatkan Sindora dibuai perasaan yang indah untuk seketika.

“Saya tak rasa apa-apa.” Sindora melepaskan tangan Andy sambil menjauhkan dirinya sedikit. Cuba mengelak dari memandang lelaki itu.

“Dari dulu lagi saya dah beritahu awak, hati saya telah dimiliki. Sekarang awak dah tahu siapa orangnya. Maafkan saya kerana tidak dapat menerima isi hati awak itu.”

Sindora bingkas bangun. Dia tidak sanggup lagi berada di situ. Air mata yang hendak menitis cuba ditahan. Pedih ulu hati dengan kata-katanya sendiri.

“Awak boleh bohong saya tapi awak tak boleh bohong diri awak. Saya dapat lihat dari mata awak, Sindora.”

Sindora yang baru sahaja hendak melangkah tiba-tiba berhenti, lalu dia menoleh kepada Andy yang tersenyum sinis.

“What do you expect me to do? Tinggalkan Izham yang selama ini setia terhadap saya? Awak ingat saya dengan senang akan melupakan pengorbanan dia selama ini? Bolehkah saya berhadapan dengan dia lagi tanpa rasa bersalah?” bentak Sindora sambil melontarkan soalan bertalu-talu kepada Andy.

Andy mengeluh kecil seraya meraup wajah. Dia bingkas bangun lalu mendekati Sindora.

“Izham yang suruh saya jumpa awak. Kalau tidak mana saya tahu awak ada di mana sekarang ni,” jelas Andy.

“Izham yang beritahu awak? Tapi kenapa?” Sindora berasa kaget.

“Tentu awak dapat agak apa yang cuba dia lakukan untuk kita berdua.”

“Tidak! Izham sayangkan saya. Tak mungkin dia buat begini pada saya. Awak bohong!” Sindora menjerit kecil. Kepala digeleng berkali-kali.

“Saya tak bohong. Memang Izham yang beri alamat ni pada saya. Dia suruh saya pujuk awak balik rumah. Rumah kita,” jelas Andy lagi untuk menyakinkan Sindora.

“Tidak! Tidak! Saya tak percaya,” bentak Sindora. Dia seperti kebingungan. Kenapa dengan Syed? Apa tujuan dia beritahu Andy semua ini?

“Sindora…”

“Stay away from me!” Sindora menepis tangan Andy yang cuba menyentuh bahunya. Dia berlari meninggalkan Andy tanpa berkata apa-apa.

Andy tergamam. Dia tidak sangka Sindora menolaknya dengan kasar dan meninggalkannya sendirian di situ. Hati lelakinya tersentuh jua dengan tingkah Sindora itu.

Ya Allah, apa yang harus aku buat? Kenapa Kau biarkan aku jatuh cinta padanya? Kenapa mesti dia? Andy mengeluh berat lalu menuju ke keretanya.

Dia memandang rumah yang menjadi kediaman Sindora sekarang dengan rasa sayu. Hajat hati untuk memujuk Sindora hanya menemui kegagalan. Tetapi Andy masih tidak berputus asa. Esok masih ada untuk dia terus mencuba memujuk isterinya.

************************************

“Kenapa awak bagi alamat saya kat Andy. Apa tujuan awak sebenarnya?” soal Sindora sambil menatap tajam kepada Syed Izham yang tekun menulis sesuatu di mejanya.

Syed Izham mendongak memandang Sindora. Tetapi hanya seketika. Dia kemudian menyambung balik kerjanya tanpa mempedulikan Sindora.

Sindora yang tidak berpuas hati dengan tingkah Syed Izham lantas duduk di kerusi yang di sediakan di situ sambil menghadap Syed Izham.

“Kenapa awak senyap aje. Tak betulkah apa yang saya cakap ni?”

“Ya. Memang saya yang beritahu Andy. Awak yang nak sangat jumpa dengan dia kan? Sampai saya pun awak dah tak nampak,” sindir Syed Izham. Sindora hanya menggigit bibir.

“Sayakan dah minta maaf. Saya akan lupakan dia.”

“Boleh percaya ke dengan kata-kata awak ni?” jawab Syed Izham dengan sinis.

“Kenapa awak berubah? Dulu awak tak macam ni. Tapi sekarang…”

“Siapa yang berubah? Awak yang dah berubah Sin, bukan saya. Awak!” ujar Syed dengan lantang. Jari telunjuknya menuding ke arah Sindora. Mukanya sudah merah padam. Sakit hati apabila Sindora menuduhnya.

“Ok,ok. Saya yang salah. Saya harap awak boleh lupakan dan jangan ungkit lagi perkara tu.”

“Ohh! Sekarang awak dah mengaku yang awak memang ada perasaan terhadap Andy.”

“Syed, apalagi yang perlu saya buat untuk yakinkan awak? Tolonglah jangan macam ni,” pinta Sindora dengan nada kecewa.
Syed Izham hanya memandangnya dengan dingin.

“Awak cakap awak sayangkan saya. Awak takkan tinggalkan saya walau apa pun yang terjadi. Awak dah lupakah semua tu?”

“Awak percaya dengan kata-kata saya?” jawab Syed Izham sambil tertawa sinis.

Dahi Sindora berkerut tanda hairan. Betul ke di depan aku ni Syed Izham yang aku kenal? Kenapa berlainan benar sikapnya?

“Semua orang boleh cakap macam tu, Sin. Lidahkan tak bertulang. Awak yakin yang saya bercakap benar?”

“Apa… maksud awak.. Syed?” soal Sindora dengan gugup.

“Saya cakap macam tu untuk senangkan hati awak aje. I really didn’t mean that words,” balas Syed dengan selamba.

“Syed! Sampai hati awak cakap macam tu. Jadi selama ni awak cuma nak main-mainkan saya.”

“Terserah apa sahaja anggapan awak. Saya cuma kasihan tengok awak yang terlalu sukakan saya sebab itu saya layankan aje perasaan awak.”

“Sekarang awak dah sukakan orang lain. So, it’s time to set you free.”

Terkebil-kebil mata Sindora. Syed Izham bercakap seolah-olah dia tidak mempunyai perasaan. Hati Sindora terguris pilu. Cepat sahaja air mata melimpah membasahi pipinya yang gebu.

“Awak tipu saya kan?” soal Sindora seraya menatap wajah Syed Izham dengan tajam tetapi lelaki itu memalingkan wajahnya ke arah lain.

Sindora mengangguk kepala berkali-kali. Dia faham dengan kebisuan Syed Izham itu.

“Kalau awak ingat dengan cara ini saya akan bersama dengan Andy, awak silap. Memang Andy ada luahkan perasaan terhadap saya tapi saya tak pernah terima. Cuma…” Sindora berhenti berkata seketika untuk menarik nafas. Air mata di pipi diseka dengan tangan.

“Saya tak sangka awak selemah ini. Begitu rapuhnya sayang awak terhadap saya. Kalau awak masih berpegang pada janji, saya tetap bersama dengan awak. Tapi mulai sekarang…”

“Jangan cari saya. Jangan tunjukkan muka awak di hadapan saya lagi. Selamat tinggal!”

Sejurus dia mengucapkan kata-kata itu, Sindora lantas melangkah keluar dari bilik Syed Izham lalu menuju ke surau. Di situ dia menghamburkan rasa sedih dan hiba. Begitu murah air matanya bercucuran keluar. Hancur hatinya bak kaca yang terhempas.

Syed Izham menghempaskan fail yang berada di atas mejanya dengan sekuat hati. Rambut diramas beberapa kali namun otaknya tetap juga berserabut. Ternyata kata-kata dusta yang terbit dari bibirnya dapat dihidu oleh Sindora. Dia tidak pandai berbohong atau Sindora yang bijak membaca isi hatinya yang sebenar.

Hati Sindora sudah tercalar dek kerana kata-katanya. Ingin dia mendapatkan Sindora dan memujuk gadis itu tetapi ditahannya perasaan itu walaupun hatinya sakit.

Aku buat semua ini kerana aku terlalu sayangkan kau, Sindora. Aku hanya ingin kau bahagia walaupun jiwa dan perasaan aku retak seribu, rintih Syed Izham dengan rasa pilu. Dia akhirnya menekup muka dengan tangan menahan perasaan sebak.

3 comments:

  1. hay scarlet, saye peminat novel awak hari2 dok tunggu klau x bz sambung ek

    ReplyDelete
  2. hai anasir,
    terima kasih sb sudi membaca.
    InsyaAllah, tunggu aje pasti saya
    akan terus berkarya kalau ada pembaca
    spt awak.
    -peace-

    ReplyDelete
  3. Bestnya.. cepat aa sambung tak sabar nak baca...

    ReplyDelete