Friday, May 8, 2009

SKSR - Chapter 8


Anna menghempaskan tas tangannya di atas sofa dengan kasar. Hatinya bengkak melihat Andy bersama Sindora. Rasa cemburu meluap-luap tatkala melihat tangan Andy yang menggenggam erat tangan gadis itu. Sepanjang pertunangan mereka Andy tidak pernah melayannya semesra itu, hanya dia sahaja yang beria-ia memenangi hati Andy tetapi lelaki itu bersikap dingin seperti air batu.

Apa istimewanya perempuan itu? Dahlah muka macam tak siap, gemuk pulak tu, cemuhnya dengan geram. Getik melihat Sindora yang cuba berlagak baik di depannya. Masih terbayang Sindora yang bertudung, memakai seluar slack dan berT-shirt besar. Cuma kulit perempuan itu putih melepak sedangkan dirinya berkulit hitam manis. Aku sepuluh kali lebih cantik dari dia, Andy sahaja yang buta. Anna menyumpah di dalam hati.

“Ada kamu beli sate yang mama pesan tu?” tegur Puan Emma yang melihat Anna bungkam di sofa. Dia lalu duduk di sisi Anna.

Syed masuk membawa sebuah bungkusan. Dia menghenyakkan punggung berhadapan Anna dan ibunya.

“Nah! Sate yang mama pesan,” ujar Syed sambil menghulurkan bungkusan itu kepada ibunya. Puan Emma menyambut lalu memandang Syed, dengan isyarat dia melirik mata ke arah Anna yang berpeluk tubuh dengan muka yang masam mencuka. Syed hanya menjungkit bahu.

“Kenapa dengan kau ni? Moody aje,” tegur Syed.

Ketika keluar rumah pagi tadi dia melihat Anna elok sahaja. Tetapi selepas balik dari membeli sate, wajah kakaknya itu serta merta berubah keruh. Takkan dia marah aku sebab tak temankan dia tadi? Tapi dia yang beria-ia suruh aku tunggu dalam kereta, gerutu Syed dalam hati.

“Kau tahu tak aku jumpa siapa tadi?” soal Anna sambil menjeling kepada Syed.

“Siapa?” tanya Syed hairan. Puan Emma hanya mendengar.

“Siapa lagi kalau bukan kawan baik kau a.k.a. Andy dengan kekasih dia di restoran tadi.” jawab Anna sambil mencebir bibir.

“Ya ke Anna? Cantik tak perempuan tu?” tanya Puan Emma ingin tahu.

“Cantik?? Anna tengok selekeh aje. Apa agaknya yang dia dah bagi kat Andy sampai Andy terpikat dengan dia. Makcik yang jual kuih kat seberang jalan tu lebih cantik dari perempuan tu,” cemuh Anna.

“Diam!!!” jerit Syed. Kedua-dua wanita itu terperanjat melihat Syed yang tiba-tiba melenting marah.

“Hei, kenapa kau marah aku pulak? Ohh…aku tahu. Andy tu kawan baik kau kan? Tapi aku ni kakak kau, kau sepatutnya bela aku,” jerkah Anna. Dia memandang Syed yang merah padam mukanya.

“Kalau kau tengok perempuan tu, kau pun tak inginlah,” sembur Anna sambil merengus kecil. Hati Syed mendidih.

“Kenapa kau benci sangat dengan perempuan tu? Dia ada buat salah dengan kau ke?”

“Memang. Dia dah rampas Andy dari aku.”

“Will you stop it? It’s over Anna. It’s all over between you and Andy,” ucap Syed dengan lantang. Jengkel hatinya melihat Anna yang masih terhegeh-hegeh mengharap cinta Andy.

“No, it’s not over yet! I will make sure they never happy,” jerit Anna. Dia bingkas bangun lalu menaiki tangga menuju kamar, pintu di hempas dengan kuat.

“Kenapa kamu marah dia Syed?” soal Puan Emma. Syed meraup muka dengan perlahan. Cuba menenangkan hati sendiri yang tadinya meluap-luap marah.

“She’s no right talking bad about that woman mama,” jawab Syed. Sakit hatinya mendengar Anna yang memaki hamun Sindora.

“Dia tertekan. Mungkin dengan cara ini sahaja dia dapat melepaskan apa yang terbuku dalam hatinya,” balas Puan Emma membela Anna.

“But, still…” Syed tidak jadi meneruskan kata-kata. Dia mengeluh berat.

“Cuba kamu tengok dia dalam bilik tu, pujuk dia elok-elok,” pinta Puan Emma. Dengan rasa berat hati Syed mengangguk. Dia naik ke atas lalu menuju ke kamar Anna.

Daun pintu yang tidak berkunci itu di buka. Dia melihat Anna yang sedang meniarap di atas katil sambil menangis tersedu-sedu.

“Aku minta maaf sis. I didn’t mean to hurt you,” ucap Syed perlahan. Dia tidak pernah menengking Anna sebelum ini tapi kerana Sindora dia telah terlepas laku.

“Go away!” ujar Anna dengan suara tersekat-sekat. Dia masih tersinggung. Syed mengeluh kecil. Dia berasa simpati terhadap Anna tetapi perangainya yang suka terburu-buru dan panas baran menyebabkan dia kehilangan semuanya.

“Lupakan sahaja Andy. You deserve a better person than him,” pujuk Syed.

“Get out!!!” Anna tiba-tiba bangun. Bantal guling yang berada di sisinya dicampak ke arah Syed.

“Ok,ok. Aku pergi. Relaklah.” Syed meletakkan kembali bantal guling itu di tepi katil dengan perlahan. Dia melihat muka Anna yang menyinga marah. Hatinya menjadi kecut sedikit.

Syed cepat-cepat meninggalkan kamar. Dia tahu perangai Anna. Kalau dia mengamuk, habis semua barang yang berdekatan di lemparnya.

**********************************

“Apa hal nak jumpa ni?” tanya Andy dengan keras. Dia mencampakkan kunci kereta di atas meja.

“Kalau ya pun duduklah dulu.”

“Saya takde masa ni. Cakap cepat sikit,” Andy melabuhkan punggung di kerusi.

“Kita minum dulu ya,” lirih suara itu dengan lembut. Selepas memesan minuman Andy berkata lagi.

“Apa yang awak nak sebenarnya?”

“Do you love her?” tanya suara itu.

“What are you talking about?” soal Andy dengan hairan.

“I saw you with that girl. Do you love her?” tanya suara itu lagi seakan mendesak Andy.

“It’s nothing to do with you,” jawab Andy bersahaja.

“I want to know, please answer my question,” suara itu menjadi keras.

“This is enough Anna! I’m leaving,” Andy yang mula bosan bingkas bangun.

“Andy! Wait…” jerit Anna.

Andy yang hendak melangkah itu duduk semula sambil merengus kecil.

“Saya menyesal putuskan pertunangan kita dulu. Saya masih sayangkan awak,” ucap Anna. Matanya kelihatan redup untuk memancing simpati.

Andy tersentak. Terkejut dengan pengakuan Anna. Lidahnya kelu untuk membalas kata-kata gadis itu, dia hanya membisu.

“Saya tahu awak tak cintakan perempuan tu. Please cancel the wedding,” rayu Anna. Andy mengeluh kecil.

“Anna, please. Forget about us,” jawab Andy.

Memang dulu ada terselit rasa sayangnya terhadap Anna. Enam bulan dia bertunang dengan Anna, dia tahu serba sedikit perangai sebenar gadis itu. Nampak keras di luar tetapi lembut di dalam.

“Don’t do this to me,” rayu Anna. Matanya sudah merah. Akhirnya air jernih membasahi pipi. Andy serba salah melihat keadaan Anna yang tersedu-sedan di depannya.

“Please don’t cry. Sini tempat public. Nanti apa orang cakap,” bisik Andy.

Dia memandang sekeliling restoran. Nasib baik tak ramai orang, desis hatinya. Dia memandang Anna yang sedang menyeka air mata dengan tangan. Tisu dihulurkan kepada gadis itu.

Ada rasa kasihan dalam diri Andy melihat Anna yang bersungguh-sungguh ingin kembali padanya tetapi apakan daya, keputusan telah dibuat.

“Kita dah takde apa-apa hubungan lagi, awak sendiri yang putuskan. Kenapa baru sekarang? Saya dah nak kahwin. Lagi tiga minggu aje lagi.”

“Marry me,” ujar Anna dengan tiba-tiba.

“Tak boleh Anna, nanti apa kata Sindora…”

“Awak kahwin sebab duit kan? Berapa awak upah dia?” soal Anna.

“Saya tak upah dia. Saya cuma nak tolong dia. I don’t want to talk about this.” Andy cuba mengelak untuk bercerita lanjut tentang Sindora.

“I know you don’t love her. Dia tak layak untuk awak. Perempuan tak sedar diri,” ujar Anna dengan geram.

“Cukup! You know nothing about her,” herdik Andy dengan suara yang tinggi. Dia tiba-tiba berasa marah mendengar kata-kata kesat dari Anna.

“Are you saying that she’s better than me? Awak baru aje kenal dia. Latar belakang keluarga dia awak dah selidik? Macam mana kalau dia ada niat yang buruk terhadap awak?” ujar Anna penuh prejudis.

Saya tetap akan kahwin dengan dia,” ujar Andy. Hatinya sudah tekad. Walaupun Anna cuba meracuni fikirannya dengan memburuk-burukkan Sindora, dia tidak akan berganjak dari keputusannya.

“Saya takkan menyerah kalah Andy. Awak tetap akan jadi milik saya,” ujar Anna dengan tegas.

“I don’t want you to be hurt,” pujuk Andy.

“Tinggalkan perempuan tu dan kita sambung balik hubungan kita. Saya janji tak akan buat perangai lagi,” ujar Anna bersungguh-sungguh. Dia berharap Andy akan termakan dengan pujukannya. Tangan kanan Andy yang berada di atas meja diraih lantas diletakkan di telapak tangannya.

Andy tersentak dengan perlakuan Anna. Dengan pantas tangan kirinya menolak tangan Anna. Gadis itu kelihatan kecewa.

“Awak carilah orang lain yang lebih baik dari saya dan bina hidup baru. Lupakan kisah kita yang dah berlalu,” ujar Andy lalu bingkas bangun meninggalkan Anna. Dia takut termakan pujuk rayu gadis itu. Sedikit sebanyak hatinya tersentuh juga.

Anna memandang langkah Andy yang berlalu pergi dengan linangan air mata. Perasaannya bercampur baur, antara kecewa, geram dan macam-macam lagi. Aku tak akan putus asa. Tunggu kau Andy. Kau akan menyesal sebab tinggalkan aku, bentak hati kecilnya.

***************************************

“Abang tak sangka adik sanggup buat macam ni. Kalau abang tahu, sumpah abang tak minta pertolongan adik.”

Saiful memandang Sindora dengan penuh kesal. Dia yang datang untuk perkahwinan Sindora yang akan berlangsung seminggu saja lagi berasa terkilan dengan penjelasan adiknya.

“Adik terpaksa. Ini saja cara yang boleh bantu abang,” jawab Sindora dengan sayu.

Dia terpaksa memberitahu Saiful mengapa dia berkahwin dengan Andy setelah didesak beberapa kali. Lagi pun dia telah di ajar untuk tidak berbohong. Saiful memang pantang kalau dirinya dibohongi. Sindora pernah ditinggalkan selama sebulan kerana berbohong. Sejak hari itu Sindora serik, dia tidak mahu kehilangan satu-satunya saudara yang dia ada.

“Abang tak suruh adik lakukan pengorbanan yang begitu besar begini. Kalaulah abang ada duit sekarang ni…” keluh Saiful. Dia memandang Sindora yang sedari tadi menunduk.

“Sin ikhlas tolong abang. Ini sahaja yang mampu Sin balas terhadap jasa-jasa abang yang membesarkan Sin selama ini.”

“Abang tak minta apa-apa balasan untuk membesarkan Sin. Itu memang tanggungjawab abang kepada adiknya.”

“Tapi abang banyak berkorban untuk Sin. Keputusan peperiksaan abang cemerlang dan abang mendapat tawaran melanjutkan pelajaran tapi semua abang tolak sebab nak bekerja dan menyara persekolahan Sin. Sampai sekarang Sin kesal abang,” luah Sindora.

“Itu cerita lama. Tak payah nak ungkit lagi. Sekarang macam mana dengan masa depan adik?” tanya Saiful. Dia berasa bersalah terhadap Sindora. Kerana ingin membantunya, Sindora sanggup berkahwin dengan lelaki yang tidak dia cintai.

“Abang jangan bimbang. Andy lelaki yang baik.” Sindora tersenyum menutup kegelisahan Saiful.

Tapi adik tak cintakan dia kan? I just want you to be happy,” ujar Saiful. Matanya berkaca-kaca. Entah kenapa hatinya menjadi hiba dengan nasib Sindora.

“Percayalah abang. Sindora bahagia kalau abang gembira. It’s all I want,” balas Sindora dengan yakin. Saiful lantas mengusap kepala adiknya dengan kasih sayang.

“Boleh abang jumpa dengan dia?” tanya Saiful.

“Kenapa abang nak jumpa Andy?” tanya Sindora dengan hairan.

“Salah ke seorang abang hendak bertemu dengan bakal suami adiknya?”

“Taklah salah. Tapi abang jangan bagi tahu dia apa-apa tentang duit tu,” beritahu Sindora.

“Abang nak bercakap sikit dengan dia tapi bukan perkara tu. Jangan risaulah,” balas Saiful sambil menepuk-nepuk lembut bahu adiknya.

******************************

“Terima kasih sebab sudi jumpa abang.”

“Abang Saiful kan?”

Lelaki yang berkulit cerah dan berkumis tipis itu mengangguk lalu menghulurkan salam dan disambut mesra oleh Andy.

“Saya sepatutnya yang patut jumpa abang tapi tak sangka abang pula yang mulakan. Saya tak tahu abang turun JB. Sindora pun tak cakap apa-apa,” ucap Andy dengan sopan.

“Sindora memang tak tahu. Kebetulan tak banyak projek, sebab itu abang datang awal sikit dari perancangan sebenar.”

“Sindora ada cakap abang ada bisnes kat KL, betul ke?” tanya Andy. Dia mengamati raut wajah Saiful. Memang ada iras sedikit dengan Sindora. Kerana lelaki ini juga dia pernah bertegang leher dengan Sindora.

“Bisnes kecil aje,” jawab Saiful ringkas.

“Boleh abang tanya sikit?”

Andy mengangguk. Saiful memandang wajah Andy agak lama membuatkan Andy kehairanan.

“Kenapa abang?” tanya Andy ingin tahu.

“Andy ni orang Inggeris ke? Tapi boleh pulak cakap melayu,” Saiful akhirnya bersuara membuatkan Andy tersenyum kecil.

“Mak saya orang melayu, bapa orang Irish tapi dia dah meninggal.”

“Oh, mix rupanya. Abang minta maaf tentang bapa Andy tu.”

“Takpe.” Andy tersenyum nipis. Ramai yang mengatakan dia memang seiras dengan bapanya. Orang hanya akan tahu dia berdarah melayu apabila dia bertutur bahasa melayu dengan fasih.

“Sindora tak bercerita banyak tentang Andy. Perkahwinan dia yang tiba-tiba ini pun betul-betul memeranjatkan abang. Sebelum ni dia takde pun kenalkan abang dengan teman lelakinya,” jelas Saiful.

Andy berasa hairan. Sindora ada mengatakan dia mempunyai kekasih tapi kenapa abangnya tidak tahu. Mungkin ada rahsia di sebalik semua ini, syak Andy di dalam hati.

“Sebelum ni, dia takde teman lelaki ke bang?” tanya Andy. Dia ingin tahu serba sedikit tentang Sindora melalui abangnya.

“Masa zaman sekolah dulu, dia ada kawan dengan seorang lelaki. Pada satu hari tu abang terserempak dengan dia kat bandar. Dia cakap dengan abang, dia ada kelas tambahan rupa-rupanya dia nak jumpa dengan lelaki tu. Dia sanggup ponteng sekolah, itu yang abang marah sangat. Sebagai hukuman abang tinggalkan dia selama sebulan tapi duit belanja sekolah abang sediakan awal-awal.

“Semenjak hari tu dia serik nak kawan dengan mana-mana lelaki. Masa mula-mula dulu abang keluar rumah sekejap pun dia dah menangis. Dia takut abang akan tinggalkan dia lagi,” Saiful bercerita dengan panjang lebar. Andy tekun mendengar. Tegas juga abang Saiful ni terhadap adiknya. Patutlah Sindora bersikap dingin terhadapnya ketika mula berjumpa, desis hati kecil Andy.

“Andy sayang Sindora?” tanya Saiful dengan tiba-tiba telah menyentak lamunan Andy.

“Err…sa..yang,” jawab Andy teragak-agak. Dia tidak tahu apa perasaannya terhadap Sindora tetapi dia perlu berpura-pura untuk menjaga hati Saiful.

Lebar senyuman Saiful mendengar jawapan Andy walaupun dia tahu itu adalah dusta semata. Tiba-tiba dia berasa sebak.

“Satu sifat Sindora yang Andy perlu tahu. Dia akan buat apa sahaja untuk orang yang dia sayang. Apa sahaja…” dengan sayu Saiful berkata.

Jadi duit tu untuk teman lelakinya? Kalaulah abang Saiful tahu kenapa aku berkahwin dengan Sindora, keluh Andy di dalam hati.

“Andy, tolong jaga Sindora baik-baik. Beri dia kasih sayang. Kasihan dia. Ibu bapa kami meninggal dunia ketika dia masih remaja. Dia kesepian. Abang pula siang malam bekerja. Dia tidak pernah merungut bila berhari-hari abang tinggalkan dia. Dia cukup memahami walaupun abang tahu dia inginkan perhatian tapi apakan daya abang sibuk mencari rezeki untuk menampung kehidupan kami,” luah Saiful sambil mengeluh berat.

“Saudara yang lain takde ke bang?” tanya Andy. Dia mula rasa simpati terhadap Sindora yang tidak mendapat kasih sayang dari kedua ibu bapanya. Dia bernasib baik ibunya masih ada, cuma kematian bapanya waktu dia berumur 22 tahun yang lalu sedikit sebanyak membuat dia rasa kehilangan.

“Ada. Tapi waktu senang diorang suka tapi waktu susah, mereka menjauhkan diri. Entahlah, busuk-busuk pun tetap saudara kan?” balas Saiful sambil tersenyum pahit.

“InsyaAllah. Saya akan buat yang terbaik untuk Sindora. Abang jangan risau,” ujar Andy. Betulkah apa yang aku cakap ni? Huh… keluh Andy dalam hati.

“Andy kerja di mana?” tanya Saiful cuba mengalih topik perbualan.

“Pengarah Operasi di syarikat kejuruteraan peninggalan arwah ayah. Abang-abang saya juga turut menguruskannya.”

“Mereka tak kisah Andy kahwin dengan Sindora?”

“Apa maksud abang?” tanya Andy dengan hairan.

“Yalah. Kami anak yatim piatu, tak berharta. Tak kaya macam keluarga Andy,” ucap Saiful merendah diri.

“Saya ikhlas memilih Sindora sebagai isteri saya walau dalam keadaan apa sekalipun,” jawab Andy dengan lancar. Ahh…bohong lagi, desis hati Andy.

“Baguslah kalau macam tu. Lega abang dengar,” balas Saiful sambil ketawa kecil lalu menepuk-nepuk lengan Andy.

Andy juga ikut tersenyum. Dia mula merasakan kemesraan bakal abang iparnya itu.

No comments:

Post a Comment