Wednesday, May 20, 2009

SKSR - Chapter 15


Pukul 5.45 petang Andy sudah terpacak di hadapan Flexy Electronic. Walaupun masih awal tetapi dia sengaja ingin membuat kejutan dengan menjemput Sindora di tempat kerja.

Tidak sabar rasanya hendak makan malam bersama Sindora. Dia telah membuat tempahan di sebuah restoran makanan laut yang terkenal di bandar Johor Bahru. Sambil makan boleh juga menikmati pemandangan laut yang terbentang luas seperti kasihnya yang telah mekar terhadap Sindora. Hari ini juga dia akan meluahkan perasaannya.

“Sindora, ada perkara penting saya nak beritahu. Ini berkenaan dengan kita berdua.”


Di dalam kereta Andy berlatih bercakap sendirian sambil mempamerkan sedikit aksi sebagai persediaan apabila bertemu Sindora nanti. Kalau ada sesiapa yang nampak Andy berkeadaan begitu tentu akan mengganggapnya gila.

“Sebenarnya dah lama saya….” Andy tidak jadi meneruskan kata-kata tatkala matanya tertancap kepada sepasang insan yang berdiri di hadapan kilang tidak jauh dari keretanya.

Dia melihat Sindora bersama seorang lelaki sedang berbual-bual. Dari belakang dia seperti mengenali lelaki itu. Apabila lelaki itu menoleh barulah Andy dapat melihat dengan jelas.

Tersirap darah Andy apabila terpandang wajah lelaki itu. Matanya terbeliak seperti tidak percaya. Kereta digerakkan berhampiran dengan pokok yang terlindung dari pandangan mereka. Andy tidak mahu kehadirannya disedari.

Terlopong mulut Andy apabila tangan lelaki itu memegang lengan Sindora. Dari tingkah laku mereka, Andy dapat merasakan mereka mempunyai hubungan yang rapat. Hatinya berdetak dengan kencang. Dia tidak sanggup lagi berada di situ. Semakin dilihat semakin sakit hatinya. Kereta dipandu dengan laju tanpa arah tujuan.

Andy tahu Syed bekerja di sebuah kilang elektronik tetapi dia sama sekali tidak menyangka dia satu tempat kerja dengan Sindora. Jadi selama ini mereka sudah saling mengenali. Tetapi kenapa mereka berahsia dari aku?

Terngiang-ngiang di telinganya dengan kata-kata Syed tempohari. “Jangan sesekali kau lakukan perkara yang Sindora tak suka. Jangan sakiti hati dia!” Patutlah Izham begitu serius bila bercakap pasal Sindora, rupa-rupanya…Andy menarik nafas. Aku sahaja yang bodoh tidak menyedarinya. Andy ketawa sendirian namun hatinya terasa pedih.

“Hello…” Andy menjawab dengan malas. Telefon bimbitnya dari tadi tidak henti-henti berdering.

“Andy, awak kat mana? Kenapa saya telefon tak angkat-angkat?”

“Kan saya dah jawab ni. Awak nak apa?” balas Andy dengan suara sedikit kasar.

“Awak tak sihat ke?” soal Anna lagi.

Andy tiada mood untuk berbual-bual. Fikirannya tengah kusut. Dia masih terbayang-bayang peristiwa tadi.

“Awak dengar tak apa yang saya cakap ni?”

“Andy!” panggil Anna dengan lantang.

“Huh!” Andy yang sedang berkhayal itu tersedar kembali . Rupa-rupanya Anna masih di talian.

“Awak, kenapa ni?” Anna seperti dapat merasakan ada sesuatu yang tidak kena.

“Kita jumpa,” putus Andy. Janjinya untuk makan malam bersama Sindora terus dilupakan.

Setengah jam kemudian, Andy sudah sampai di depan City Square. Pejabat Anna berada di dalam bangunan pusat membeli-belah itu. Seorang gadis tinggi lampai menghampiri keretanya.

“Kenapa tak masuk dalam?” soal Anna sebaik sahaja menghenyakkan punggungnya di sebelah Andy.

“Dalam tu crowded, saya tak suka. Kita pergi Luna Bar.”

“Eh, baru pukul 6.30 petang. Tak terlalu awal ke?”

Andy tidak menjawab. Wajahnya begitu serius menyebabkan Anna tidak bertanya lagi. Andy terus memandu laju keretanya.

“Ada masalah kat pejabat?” soal Anna. Andy cuma menggeleng. Anna hairan melihat Andy yang berwajah mendung tidak seperti selalu. Mungkin ada sesuatu yang menganggu fikiran Andy. Anna cuba untuk menceriakan suasana.

“Kalau ada Iz dengan Nizam kan best. Apa kata saya call diorang lepas tu ajak diorang join kita.” Anna memberi cadangan sambil melihat di sekelilingnya. Suasana di bar agak lengang kerana baru sahaja dibuka.

Terdengar sahaja nama Syed Izham disebut, serta merta wajah Andy jadi berubah. Memandangkan Anna dan Izham saudara kembar, Andy percaya yang Anna tentu tahu sesuatu.

“Awak rapat dengan Izham kan?” tiba-tiba Andy menyoal setelah lama mendiamkan diri.

“Yup,” jawab Anna sepatah. Bahunya bergoyang-goyang mengikut alunan lagu yang berkumandang.

“Ada Izham beritahu awak siapa teman wanita dia sekarang?” soal Andy lagi.

“Entah,” balas Anna dengan sedikit gugup. Dalam hati dia berasa hairan kenapa tiba-tiba Andy bertanya. Adakah dia sudah tahu? Anna mula rasa gelisah.

Andy tidak berpuas hati dengan jawapan yang diberikan. Dia tahu Anna cuba menyembunyikan sesuatu.

“Awak tak tahu atau pura-pura tak tahu?” soal Andy dengan suara yang keras.

“Apa yang awak cakap ni? Saya tak faham,” jawab Anna. Suasana menjadi tegang. Tidak berani dia memandang wajah Andy yang merenung tajam seperti hendak menelannya hidup-hidup.

“Kenapa awak nampak resah aje. Mesti awak ada rahsiakan sesuatu?”

“Mana ada,” nafi Anna lagi. Tetapi Andy masih memandangnya dengan curiga.

“Kalau awak tak percaya, awak tanyalah Izham sendiri. Buat apa tanya saya,” bentak Anna.

Anna tidak mahu masuk campur dengan hal mereka. Walaupun dia sakit hati dengan Sindora tetapi demi persahabatan Andy dan Izham dia mengambil keputusan untuk mendiamkan diri. Dia juga akan merancang untuk menyingkirkan Sindora dari hidup mereka.

Andy hanya sekadar tersenyum sinis. Dia mengurut-ngurut dagu. Tiada guna dia berjumpa dengan Anna kalau dia tidak dapat cari maklumat yang dia mahukan. Andy lantas bangun meninggalkan Anna yang terpinga-pinga.

“Andy! Tunggu!” Anna berlari-lari ingin menyaingi langkah Andy yang semakin menjauh.

“Sebenarnya…” Anna tercungap-cungap. Andy masih menunggu penjelasan dari Anna yang berada di hadapannya.

“Saya dah suruh Izham putuskan hubungan dengan Sindora.” Akhirnya dia membuka mulut. Andy menarik nafas dalam-dalam. Terasa sesak nafasnya di kala ini.

“Jadi selama ni awak tahu?”

“Saya memang nak beritahu awak tapi…”

Andy menolak bahu Anna yang menghalang laluannya. Dia tidak mahu mendengar penjelasan Anna lagi. Anna masih tidak berputus asa. Dia membuntuti Andy dari belakang.

“Awak dah buat keputusan?” Langkah Andy terhenti mendengar pertanyaan Anna.

“Keputusan apa?”

“Bercerai dengan Sindora.” Anna berpendapat setelah Andy tahu perkara sebenar tentu dia akan meninggalkan Sindora.

“Itu awak tak perlu tahu.”

“Kenapa pulak saya tak perlu tahu? Habis, macam mana dengan kita?”

“Kita? Kenapa dengan kita?” soal Andy dengan hairan.

“I thought you and me will be together.”

“Anna, dari dulu saya anggap awak hanya seorang kawan. Tak lebih dari itu.”

“Tapi saya cintakan awak,” ucap Anna yang masih tidak mahu menerima kenyataan. Hatinya terluka dengan kata-kata Andy.

Andy mengeluh lalu meraup wajah.

“Anna, tolonglah faham. Dalam hati saya ni dah ada orang lain,” jelas Andy.

Anna terpempan. Seperti ada belati tajam menusuk jantungnya. Terpukul dengan kata-kata Andy. Dia mengetap bibir. Rasa cemburu dan marah bercampur baur.

“Kenapa mesti Sindora?” dengan lantang dia bersuara.

“Apa istimewanya perempuan tu sehingga awak dan Izham boleh sama-sama sukakan dia?”

“Apa lebihnya dia dan apa kurangnya saya?” soal Anna bertubi-tubi. Bahu Andy digoncang-goncang. Ada rasa sebak berbuku di dada. Air jernih mula bergenang di kelopak mata.

“Bukan soal lebih atau kurang. Saya cuba menyintai awak tetapi saya tak dapat melakukannya. Cinta memang tak boleh dipaksa.”

“Saya pun tak tahu kenapa saya sukakan dia. Ianya datang tanpa saya sedari,” jelas Andy. Memang jawapan agak klise tetapi itulah hakikatnya.

Anna terjelepuk jatuh. Lemah seluruh anggota tubuh. Semakin kuat tangisan dan raungan seakan tidak dapat dibendung lagi. Pedih hatinya kerana sekali lagi dia gagal mendapatkan cinta Andy. Dan yang lebih memilukan ada orang lain telah mencuri hati lelaki itu.

Andy melihat tanpa berbuat apa-apa. Ingin dia memujuk tetapi apalah guna kerana dia yang telah menghancur luluhkan hati Anna. Dia tidak layak membaluti luka di hati Anna kerana hatinya juga turut berasa pilu.

*****************************

“Nah!”

“Thanks.”


Mug berisi air kopi yang dihulurkan oleh Watie disambut oleh Sindora beserta satu senyuman.

Watie lalu melabuhkan punggung di sofa bersebelahan Sindora. Dia mencapai remote TV yang berada di depannya.

“Tie, kau tak kisahkan aku tumpang rumah kau ni?”

“No hal lah. Berapa lama suami kau outstation?”

“Aku tak pasti. Dua minggu kot…” balas Sindora.

“Cantik rumah kau ni,” puji Sindora.

“Rumah kakak aku. Kebetulan dia further study kat Australia. Rumah ni dia suruh aku jaga,” jelas Watie.

Sindora mengangguk-angguk. Dia melihat sekitar rumah teres 2 tingkat milik kakak Watie. Hiasan dalaman berkonsepkan ‘English’ style. Pasti kakak Watie berjawatan tinggi, masih bujang tetapi sudah memiliki rumah sebesar dan secantik ini.

Pada mulanya dia tidak tahu hendak pergi ke mana. Menginap di hotel murah akan mengundang bahaya. Kalau pergi ke rumah abangnya, terlalu jauh. Bagaimana dia hendak bekerja pula. Kak Anis, kawan serumahnya dulu juga sudah berpindah kerja di Perak. Dia akui dia tidak ramai kawan. Tetapi untuk terus tinggal di rumah bersama Andy, dia tidak sanggup.

Kebetulan pula Watie bertanya, kalau-kalau Sindora ada kawan perempuan yang ingin menyewa bilik di rumahnya. Bagai pucuk dicita ulam mendatang, Sindora terus menawarkan diri. Dia memberi alasan yang Andy bertugas di luar dan Sindora takut tinggal sendirian.

Sindora menitipkan nota di ruang tamu untuk Andy. Mengatakan dia ingin bersendirian untuk seketika dan Andy tidak perlu risau.

Telefon bimbitnya berbunyi lagi. Tidak berhenti-henti sehingga Sindora tidak pasti untuk yang keberapa kali. Ada teks mesej yang diterima.

‘Where are you now? Please come back, I need you!’

Sindora sudah menjangkakan pasti mesej dari Andy yang tidak jemu-jemu memujuk. Dia mengeluh kecil.

“Kenapa ni Sin? Kau macam ada masalah aje. Kau tak suka tinggal kat sini ke?” tanya Watie yang perasan dengan tingkah Sindora tadi.

“Eh, takdelah. Aku suka tinggal kat sini cuma sesekali terasa home sweet home,” balas Sindora sambil tersenyum hambar.

“A’ah. Ya tak ya jugak. Orang dah bersuami mesti lain macam kalau berpisah walau sekejapkan?” usikan Watie itu dibiar sepi.

“Suami kau kerja apa Sin?” soal Watie yang menonton TV sambil menekan-nekan remote control. Pantang sahaja ada iklan, tangannya ligat menukar ke siaran lain.

“Family business.”

“Aku tak pernah tengok husband kau. Aku dengar dia pan-asian eh? Mesti cun kan?”

“Cun? Kau ingat dia perempuan ke?”

“Opps, sori. Handsome…” jelas Watie sambil tersengih-sengih.

“Itulah kau. Masa aku kahwin, kau balik kampung,” rungut Sindora.

“Yalah, ruginya tak dapat datang. Kau ada gambar dia tak? Meh, aku nak tengok,” pinta Watie yang teringin melihat wajah Andy.

Sindora tersenyum simpul. Kalau Watie tahu wajah Andy seiras dengan wajah pelakon yang diminatinya pasti dia menjerit kerana teruja. Tiba-tiba dia ada idea untuk mengusik Watie.

“Hmm…muka dia macam pelakon bollywood tu. Siapa eh? Hah, Shahid Kapoor!”

“Siapa tu? Tak kenallah,” ujar Watie sambil memuncungkan bibir.

“Nanti kau tengoklah citer hindustan. Kat TV kan selalu ada,” beritahu Sindora.

“Tak minatlah. Nyanyi, nyanyi, golek, golek. Pening aku!” omel Watie membuatkan Sindora tertawa. Terhibur sedikit hati dengan telatah temannya.

“Habis kau minat citer apa?”

“Aku minat citer korea, jepun. English pun ok gak.”

“Patutlah aku nampak bersepah-sepah DVD dan VCD citer ni,” ujar Sindora sambil membelek-belek koleksi drama korea yang dimiliki oleh Watie. Lebih dari 20 set. Wah memang peminat setia si Watie ni! hati kecilnya berkata.

“Kau tak minat citer korea?”

“Tak berapa minat. Kebanyakan citer sedih. Buat rugi air mata aku aje.”

“Aku suka citer action thriller macam Lost, Prison Break, CSI…”

“Smallville.” Belum sempat Sindora menghabiskan ayat, Watie sudah menyampuk.

Wajah Sindora berubah. Moodnya untuk bersembang dengan Watie sudah hilang.

“Kau ni tak habis-habis dengan Smallville. Dahlah. Aku masuk bilik dulu. Mengantuk ni.”

Eh Sin, nantilah dulu!” Watie melihat Sindora sudah pun menaiki tangga menuju ke bilik.

Apa hal si Sin ni? Tadi elok aje, tiba-tiba nak tidur pulak! Watie berasa hairan dengan tingkah Sindora yang kebelakangan ini kerap berubah-rubah.

Sindora rebah di atas katil. Dia memejamkan mata tetapi tidak terasa ingin tidur. Matanya terbuka semula. Kipas angin yang berputar-putar di siling dipandang. Terasa pening pula.

Dia bangun. Jendela dibuka. Pekat malam ini tanpa disinari bintang. Terasa angin berhembus lembut singgah di pipi. Nak hujan agaknya, hati kecilnya berkata. Fikirannya terus menerawang kepada peristiwa yang telah membuat dia menjauhkan diri dari Andy.

“Lewat balik hari ni?” soal Sindora sambil menjeling sekilas ke arah Andy yang menapak masuk ke dalam rumah dengan langkah yang lesu.

“Hmm… lepas jumpa Anna saya ke pejabat sekejap ambil laptop.”

Sindora berasa geram melihat Andy yang seperti orang tidak bersalah. Tidak menelefon atau mengirim mesej. Berjam-jam dia menunggu sehingga perut menjadi lapar. Puas dia jadi patung cendana di rumah. Melihat Andy yang langsung tidak meminta maaf, hatinya menjadi panas.

“Jumpa Anna? Penting sangat ke sampai terlupa nak beritahu saya dan biar saya tertunggu-tunggu macam orang bodoh?” bentak Sindora lalu bingkas bangun. Dia menghadap Andy sambil berpeluk tubuh.

“Kata kawan aje tapi hari-hari berkepit. Kalau tak tahan sangat, pergilah kahwin dengan dia,” sindir Sindora dengan sinis. Bibirnya dijuihkan tanda meluat.

“Awak jealous ke saya jumpa dengan Anna?” soal Andy.

“Takde maknanya saya nak cemburu.” Sindora melarikan matanya dari ditatap.

“Habis tu kenapa tiba-tiba naik angin pulak?”

“Awak tu yang mungkir janji. Lagipun saya ada perkara penting nak beritahu awak.”

Bukan itu jawapan yang dinantikan oleh Andy. Dia masih tidak puas hati.

“Betul awak tak cemburu?” tanya Andy lagi.

Sindora menelan air liur. Apa hal dengan Andy? Nampak sangat ke riak cemburu kat muka aku ni? Dahlah lambat, tanyalah aku dah makan ke. Ini tak, dia tanya yang bukan-bukan pulak. Sindora berasa geram.

“Lantak awaklah nak bercinta dengan sesiapa pun. Saya peduli apa!” lantang Sindora bersuara.

Berubah muka Andy mendengar jawapan dari Sindora. Wajahnya tampak kecewa.

Sindora menunduk kepala. Dia menggigit bibir. Terasa menyesal pula melafazkan kata-kata itu.

“Saya tak nak sesiapa. I only want you in my life,” ucap Andy dengan bibir bergetar.

Sindora mendongak. Betulkah Andy yang berkata-kata itu?

“A..pa yang… awak cakap.. tadi?” soal Sindora tergagap-gagap.

“I like you! I really like you, Sindora!” Meluncur kata-kata itu dari bibir Andy dengan suara yang lantang.

Sindora terpana. Mulutnya sedikit terbuka tanda dia benar-benar rasa kaget. Lama mereka berbalas pandangan tanpa berkata apa-apa.

Rasa sejuk hingga menusuk ke tulang telah menyedarkan Sindora dari lamunan. Cepat-cepat dia menutup jendela. Kepala direbahkan ke bantal semula. Dia mula bermonolog sendirian.

Sampai bila aku nak melarikan diri? Sepatutnya aku beritahu Andy pasal aku dan Syed. Tapi bila dia cakap yang dia suka kat aku, rasa berat mulut ini untuk berterus terang. Dapatkah Andy menerima kenyataan? Sampai hatikah aku untuk menolak perasaannya. Dan bagaimana pula dengan Syed yang selama ini setia terhadap aku?

Bagai nak pecah kepala Sindora memikirkannya. Dua lelaki, dua sahabat baik. Ditakdirkan bertemu dengannya dalam situasi yang berbeza. Kini sama-sama ingin memiliki hatinya. Siapa yang Sindora pilih?

2 comments: